Wednesday 28 March 2012

Dilemma

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas ahli keluarga dan sahabat baginda.
 
Saya fikir keputusan saya untuk masuk PAS satu kesilapan. Pertemuan saya dengan YB Dato' Wan Rahim (Ahli Parlimen Kota Bharu) dan juga Mohd Soberi Shafii (Abe Yie) pada 12 Oktober 2011 juga satu kesilapan.

Di dalam kepala saya, apa yang saya buat adalah demi kepentingan negeri dan negara serta rakyatnya sahaja. Kesetiaan saya hanyalah kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong bagi Malaysia dan DYMM Al-Sultan Kelantan bagi negeri Kelantan. Tidak sekali-kali kepada parti.

Pertemuan saya dengan YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie adalah sesuatu yang baik tapi ia silap kerana ia detik permulaan mendorong saya untuk keluar UMNO dan masuk PAS. Ia mengikat mulut saya untuk berkata-kata dengan lebih bebas lagi. Sekarang saya jadi dilema.

Dilema pertama:
Saya melihat pemimpin PAS kurang cekap. Saya perlu membuat teguran dan kritikan supaya mereka menjadi lebih cekap. Namun, bila saya telah menjadi ahli PAS, ia menyukarkan saya untuk buat teguran dan kritikan kerana teguran dan kritikan ini tidak akan disenangi oleh pemimpin, ahli dan penyokong parti dan ia juga akan diambil kesempatan oleh pihak lawan bagi melemahkan PAS. Sebagai ahli, saya jadi terikat dengan peraturan-peraturan parti. Walaubagaimanapun saya tetap tegur dan kritik.

Dilema kedua:
YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie membawa saya ke dalam PAS. Bila saya tegur dan kritik PAS, saya melihat ada beberapa kesan kepada mereka berdua ini:

1. Seolah-olah saya tidak menghormati YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie; atau
2. Mungkin sesetengah pihak melihat YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie merestui saya untuk buat teguran dan kritikan; atau
3. Kedua-duanya sekali.

Apa yang saya buat adalah di atas usaha saya sendiri tanpa nasihat dari sesiapa pun. Ia adalah di atas kehendak saya dalam menegur kepimpinan PAS yang tidak cekap. Kadang-kadang saya terasa malu juga kepada YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie di atas sikap saya ini. Namun, kepentingan negera/negeri dan orang ramai mengatasi kepentingan parti. Sebagai contoh teguran saya berkenaan dengan masalah air paip yang kotor di Kelantan. Ia adalah suatu kegagalan yang jelas yang kepimpinan PAS gagal atasi. Saya tidak boleh berdiam diri kerana ia sesuatu yang tidak boleh dibiarkan. Kepentingan orang ramai dan negeri mengatasi kepentingan parti.

Saya rela dipecat dari PAS.

Sekian, wassalam.

Saturday 17 March 2012

Sebahagian Pemimpin PAS Kelantan Masih Tak Boleh Diharap

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas ahli keluarga dan sahabat baginda.

Saya melihat terlalu banyak isu yang pemimpin PAS di Kelantan gagal untuk selesaikan seperti masalah air bersih, kekurangan peluang pekerjaan, kekurangan dalam sektor industri, kebajikan rakyat dan banyak lagi.

Saya memerhatikan yang sebahagian pemimpin-pemimpin PAS ni masih tak boleh diharapkan. Mereka lebih berminat untuk menjadi ustaz berbanding menjadi pemimpin negeri. Kalau mereka menjadi pemimpin negeri sekalipun, tindakan mereka lebih kepada untuk menjadi ustaz dengan turun naik masjid, surau dan madrasah untuk memberi ceramah agama sedangkan mereka telah ditugaskan sebagai wakil rakyat, pemimpin di peringkat kerajaan negeri atau pengarah bagi syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih hebat lagi. Bukan setakat memberi kuliah dan ceramah agama di masjid, surau ataupun madrasah.

Saya melihat tidak banyak perubahan di dalam sikap pemimpin PAS ini pada tahun 1990, 2000, 2010 dan sekarang 2012. Mereka hebat mencari agama tapi tidak hebat dalam memenuhi dan melaksanakan tuntutan agama yang mereka hebat mencarinya. Barangkali pada mereka tuntutan agama adalah:

1. Memberi kuliah dan ceramah agama di masjid, surau dan madrasah.
2. Memakai kopiah dan jubah.
3. Bercakap membahasakan diri pertama dan kedua dengan "Ana" "Enta".

Kegagalan menyelesaikan masalah rakyat dengan menyelesaikan masalah air bersih, menambahkan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi, meningkatkan sektor industri dan lain-lain lagi adalah perlu dipersalahkan kepada kerajaan Persekutuan. Saya sedang menilai:

1. Sejauhmanakah PAS memilih pemimpin yang berkebolehan untuk mentadbir negeri dan mengurus kewangan negeri?
2. Sejauhmanakah pemimpin yang dipilih ini mampu mewujudkan dan menambahkan hasil kewangan dalam negeri tanpa membebankan rakyat?
3. Sejauhmanakah pemimpin yang dipilih ini mampu mencari dan menarik hasil kewangan dari luar negeri ke dalam negeri?

Saya akan menilai kedudukan ini sepanjang tahun 2012 ini, insya Allah. Apakah perlu saya kekal di dalam PAS ataupun menubuh satu parti lain.