Wednesday 28 March 2012

Dilemma

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas ahli keluarga dan sahabat baginda.
 
Saya fikir keputusan saya untuk masuk PAS satu kesilapan. Pertemuan saya dengan YB Dato' Wan Rahim (Ahli Parlimen Kota Bharu) dan juga Mohd Soberi Shafii (Abe Yie) pada 12 Oktober 2011 juga satu kesilapan.

Di dalam kepala saya, apa yang saya buat adalah demi kepentingan negeri dan negara serta rakyatnya sahaja. Kesetiaan saya hanyalah kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong bagi Malaysia dan DYMM Al-Sultan Kelantan bagi negeri Kelantan. Tidak sekali-kali kepada parti.

Pertemuan saya dengan YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie adalah sesuatu yang baik tapi ia silap kerana ia detik permulaan mendorong saya untuk keluar UMNO dan masuk PAS. Ia mengikat mulut saya untuk berkata-kata dengan lebih bebas lagi. Sekarang saya jadi dilema.

Dilema pertama:
Saya melihat pemimpin PAS kurang cekap. Saya perlu membuat teguran dan kritikan supaya mereka menjadi lebih cekap. Namun, bila saya telah menjadi ahli PAS, ia menyukarkan saya untuk buat teguran dan kritikan kerana teguran dan kritikan ini tidak akan disenangi oleh pemimpin, ahli dan penyokong parti dan ia juga akan diambil kesempatan oleh pihak lawan bagi melemahkan PAS. Sebagai ahli, saya jadi terikat dengan peraturan-peraturan parti. Walaubagaimanapun saya tetap tegur dan kritik.

Dilema kedua:
YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie membawa saya ke dalam PAS. Bila saya tegur dan kritik PAS, saya melihat ada beberapa kesan kepada mereka berdua ini:

1. Seolah-olah saya tidak menghormati YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie; atau
2. Mungkin sesetengah pihak melihat YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie merestui saya untuk buat teguran dan kritikan; atau
3. Kedua-duanya sekali.

Apa yang saya buat adalah di atas usaha saya sendiri tanpa nasihat dari sesiapa pun. Ia adalah di atas kehendak saya dalam menegur kepimpinan PAS yang tidak cekap. Kadang-kadang saya terasa malu juga kepada YB Dato' Wan Rahim dan Abe Yie di atas sikap saya ini. Namun, kepentingan negera/negeri dan orang ramai mengatasi kepentingan parti. Sebagai contoh teguran saya berkenaan dengan masalah air paip yang kotor di Kelantan. Ia adalah suatu kegagalan yang jelas yang kepimpinan PAS gagal atasi. Saya tidak boleh berdiam diri kerana ia sesuatu yang tidak boleh dibiarkan. Kepentingan orang ramai dan negeri mengatasi kepentingan parti.

Saya rela dipecat dari PAS.

Sekian, wassalam.

Saturday 17 March 2012

Sebahagian Pemimpin PAS Kelantan Masih Tak Boleh Diharap

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas ahli keluarga dan sahabat baginda.

Saya melihat terlalu banyak isu yang pemimpin PAS di Kelantan gagal untuk selesaikan seperti masalah air bersih, kekurangan peluang pekerjaan, kekurangan dalam sektor industri, kebajikan rakyat dan banyak lagi.

Saya memerhatikan yang sebahagian pemimpin-pemimpin PAS ni masih tak boleh diharapkan. Mereka lebih berminat untuk menjadi ustaz berbanding menjadi pemimpin negeri. Kalau mereka menjadi pemimpin negeri sekalipun, tindakan mereka lebih kepada untuk menjadi ustaz dengan turun naik masjid, surau dan madrasah untuk memberi ceramah agama sedangkan mereka telah ditugaskan sebagai wakil rakyat, pemimpin di peringkat kerajaan negeri atau pengarah bagi syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih hebat lagi. Bukan setakat memberi kuliah dan ceramah agama di masjid, surau ataupun madrasah.

Saya melihat tidak banyak perubahan di dalam sikap pemimpin PAS ini pada tahun 1990, 2000, 2010 dan sekarang 2012. Mereka hebat mencari agama tapi tidak hebat dalam memenuhi dan melaksanakan tuntutan agama yang mereka hebat mencarinya. Barangkali pada mereka tuntutan agama adalah:

1. Memberi kuliah dan ceramah agama di masjid, surau dan madrasah.
2. Memakai kopiah dan jubah.
3. Bercakap membahasakan diri pertama dan kedua dengan "Ana" "Enta".

Kegagalan menyelesaikan masalah rakyat dengan menyelesaikan masalah air bersih, menambahkan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi, meningkatkan sektor industri dan lain-lain lagi adalah perlu dipersalahkan kepada kerajaan Persekutuan. Saya sedang menilai:

1. Sejauhmanakah PAS memilih pemimpin yang berkebolehan untuk mentadbir negeri dan mengurus kewangan negeri?
2. Sejauhmanakah pemimpin yang dipilih ini mampu mewujudkan dan menambahkan hasil kewangan dalam negeri tanpa membebankan rakyat?
3. Sejauhmanakah pemimpin yang dipilih ini mampu mencari dan menarik hasil kewangan dari luar negeri ke dalam negeri?

Saya akan menilai kedudukan ini sepanjang tahun 2012 ini, insya Allah. Apakah perlu saya kekal di dalam PAS ataupun menubuh satu parti lain.

Friday 14 October 2011

Persediaan Memajukan Rakyat Kelantan Seiring Dengan Kemajuan Kelantan

Assalamu'alaikum, saya harap agar para-para cerdik pandai, industrialists, financiers dan economists Kelantan agar dapat duduk semeja untuk memikirkan dan menyediakan sesuatu agar orang-orang Kelantan dapat bersedia dan menjadi lebih berkemampuan dari segi kewangan supaya nanti setelah Kelantan maju, orang-orang Kelantan ini akan dapat menikmati hasil kemajuan ini. Kita ingin memastikan mereka ini akan menjadi players dan bukannya penonton kepada orang luar yang menikmati hasil kemajuan ini. Gerakan ini perlu disegerakan kerana perubahan ini memakan masa.

Sekain, wassalam.

Friday 29 April 2011

Penyatuan UMNO dan PAS

Antara masalah besar dalam menggerakkan penyatuan UMNO dan PAS adalah:

1. Kenangan PAS terhadap kezaliman pemimpin UMNO ke atas mereka dan pembangkang lain. Seperti menahan mereka di ISA, ditangkap, diganggu sewaktu berceramah dan banyak lagi.
2. Kenangan UMNO terhadap PAS yang pernah mengkafirkan UMNO. Ia menjadi kenangan yang mengguris hati para ahli, penyokong dan pemimpin UMNO yang bersembahyang, berpuasa, membantu golongan miskin. Walaupun bagi sesetengah yang kurang amalan agama Islam, tuduhan kafir ke atas UMNO ini cukup mengguris hati yang akhir sekali boleh menjadi dendam.

Keadaan ini agak sukar untuk diatasi. Kedua-dua pihak cukup merasa dan mengingati kenangan-kenangan ini. Saya secara peribadi merasakan terlalu sukar untuk keluar dari masalah ini. Perkara ini telah pun berlaku. Moga-moga UMNO dan PAS dapat melupakan suasana ini. Untuk melupakan suasana ini maka kedua-dua pihak perlulah:

1. Pemimpin UMNO kena menjadi pemimpin yang berhemah dan berperaturan. Tidak menzalimi sesiapapun lagi. Menjalankan tugas mengikut lunas-lunas Islam dan undang-undang negara.
2. Pemimpin PAS perlu berhenti dari mengatakan perkataan yang cukup mengguris hati ahli, penyokong dan pemimpin UMNO yang Islam seperti mengkafirkan UMNO atau menjahiliahkan UMNO.

Perlu lihat kepada ancaman-ancaman jika Melayu Islam tidak bersatu. Melaka jatuh ke tangan Portugis selepas gagal mempertahankan kuasa politik. Ini berlaku kerana Melayu Islam berpecah. Bergaduh sesama sendiri. Ada yang menyokong Sultan dan ada yang menyokong Portugis. Selepas itu ditawan pula oleh Belanda. Gagalnya PAS dan UMNO bersatu, suatu masa nanti, insya Allah, kuasa akan berada di tangan orang lain. Orang Melayu Islam akan sukar untuk memegang jawatan tinggi dan bergaji besar. Oleh kerana kesukaran ini, mereka akan berlumba-lumba untuk mendapat bahagian ini. Bagi yang berjaya, mereka akan sayang kepada jawatan ini. Mereka akan sanggup melakukan apa saja demi jawatan dan gaji ini. Jangan terkejut, jika keputusan yang diambil oleh mereka akan menambah-rugikan lagi Melayu Islam.

Kita perlu ingat, bumi Malaysia ini bumi baik. Bumi yang stabil, subur dan banyak sumber. Ramai orang asing cukup berminat untuk datang ke sini. Kegagalan Melayu Islam untuk berkuasa, akan mendedahkan kemasukan beramai-ramai orang asing. Ini akan berlaku kerana mereka akan dibenarkan masuk dan lama-kelamaan dibenarkan menjadi warganegara. Alasan boleh dibuat seperti kita kekurangan tenaga pakar untuk membangun. Jadi kita perlu benarkan mereka masuk. Berkemungkinan besar yang menjadi jurucakap adalah Melayu Islam kita juga. Lama-kelamaan, mereka akan bertambah ramai dan beranak-pinak. Mereka sudah tentunya akan jadi majoriti. Maka sempurnalah kegagalan kita apabila kita sudah jadi minoriti. Kita sudah tidak boleh berkuasa secara mutlak kerana kita tidak akan menang melawan golongan majoriti. Majoriti akan memerintah dan minoriti akan diperintah. Itu lah demokrasi.

PAS dan UMNO perlu bersatu. Sedarlah wahai pemimpin UMNO dan PAS. Sedarlah wahai Melayu Islam di dalam PAS dan UMNO. Sedarlah wahai Melayu Islam yang menyokong PAS atau UMNO. Kita kena bersatu. Buang yang keroh dan ambil yang jernih.

Wahai orang yang baik-baik. Siapa itu orang yang baik-baik? Mereka adalah orang yang takut kepada Allah, taat kepada Rasul, hormat kedua ibubapa, yang mengikut lunas-lunas Islam. Mulakan lah bekerja. Jangan lah menyerahkan tugas kepada orang yang jahat. Janganlah pilih atau menyokong orang yang jahat. Pastikan orang-orang yang baik sahaja menjadi pemimpin. Pastikan orang-orang yang baik sahaja berada di sekeliling pemimpin. Insya Allah, kita akan bersatu.

Friday 22 April 2011

Hentikanlah Serangan Peribadi Yang Mengaibkan Ke Atas Pemimpin Pembangkang.

Strategi mengaibkan pemimpin pembangkan melalui berita-berita seks tidak menguntungkan UMNO. Hentikanlah tindakan ini. UMNO perlu memenangi hati rakyat dengan melaksanakan janji-janji pilihanraya serta mengekang kenaikan harga barang-barang. Di samping itu menaikkan lagi taraf hidup rakyat. UMNO perlu menjadi salesman (jurujual) yang bagus yang pandai menarik minat pelanggan untuk membeli barangannya. Kadang-kadang pelanggan membeli barangan yang kurang bermutu kerana suka kepada cara jurujual berkenaan. Ada jugak pelanggan yang tidak membeli barangan yang bagus kerana tidak suka cara jurujual berkenaan. Bayangkanlah jika jurujual itu bagus dan barangan pun bagus, sudah pastilah pelanggan akan terus membeli barangannya serta akan datang kembali untuk membelinya. Pelanggan akan setia kepada kita. UMNO perlu menjadi dan perlu ada jurujual yang bagus dengan disokong oleh barang yang bagus juga. Insya Allah, rakyat akan terus mengundi UMNO.

Blog Baru Saya

Assalamu'alaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua.

Selamat Datang ke blog baru saya. Insya Allah, saya akan postkan tulisan saya untuk dikongsikan kepada semua.

Semoga blod ini mendapat keredaan Allah.

Sekian, terima kasih.